KOTA BHARU – Kerajaan Negeri Kelantan memaklumkan tiada tambahan cuti umum diberikan pada Ahad ini bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Muhammad V.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, kerajaan negeri hanya mengisytiharkan cuti umum pada Isnin dan Selasa, manakala Ahad kekal sebagai hari bekerja.
Katanya, terdapat pemohonan daripada Pengarah Yayasan Islam Kelantan (YIK) supaya kerajaan negeri memberi cuti ganti kepada sekolah di bawah yayasan itu berikutan tidak semua sekolah mengemukakan permohonan tersebut.
“Sekiranya ada sekolah-sekolah yang merasakan perlu untuk mendapatkan cuti ganti, mereka boleh kemukakan permohonan. Insya-Allah, kerajaan negeri akan beri cuti ganti kepada sekolah di bawah pengurusan YIK pada Ahad ini,” katanya selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Mohamed Fadzli berkata, pihaknya menyokong cadangan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat supaya peruntukan undang-undang sedia ada berhubung kes rogol bagi hubungan ‘suka sama suka’ melibatkan remaja bawah umur dikaji semula.
Katanya, beliau melihat cadangan itu sebagai satu langkah ke arah mewujudkan keadilan bagi pelaku lelaki dan perempuan. – KOSMO! ONLINE