MELAKA – Seorang pesara Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dijatuhi hukuman penjara 10 bulan dan denda RM60,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas didapati bersalah memberi rasuah berjumlah RM3,600 kepada rakan sekerjanya bagi memastikan lori lebih muatan dilepaskan tanpa tindakan, tujuh tahun lalu.
Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap tertuduh, Mohd. Rafi Abd. Rahman, 61, selepas mahkamah mendapati tiada keraguan munasabah ditimbulkan di akhir kes pembelaan.
Dalam penghakimannya, Elesabet berkata pihak pembelaan tidak berjaya mematahkan anggapan di bawah Seksyen 50(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang terpakai bagi pertuduhan mengikut Seksyen 16(b)(B) akta sama.
Mengikut pertuduhan pertama hingga keenam, Mohd. Rafi yang baru sahaja bersara tahun ini didakwa memberi rasuah berjumlah RM3,600 kepada seorang lagi anggota JPJ sebagai upah supaya tidak mengambil tindakan terhadap pengusaha lori yang melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Perbuatan itu dilakukan dalam enam perjumpaan berasingan di JPJ Melaka antara Julai hingga Disember 2018.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM 2009 serta boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Peguam Azrul Zulkifli Stork yang mewakili tertuduh merayu hukuman ringan diberikan dengan alasan ia kesalahan pertama anak guamnya, selain perlu menyara isteri dan pencennya telah disekat.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muhammad Asraf Mohamed Tahir, memohon hukuman berat dikenakan dengan mengambil kira rasuah adalah kesalahan serius serta melibatkan kepentingan awam.
“Tertuduh telah mengkhianati amanah dengan terlibat dalam sindiket bersama orang awam, orang tengah dan pengusaha lori untuk memastikan pihak JPJ tidak mengambil tindakan terhadap lori berlebihan muatan. Hukuman yang rendah tidak akan memberi pengajaran,” katanya.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan dan denda RM10,000 atau tiga bulan penjara bagi setiap pertuduhan jika gagal bayar.
Elesabet turut memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak bermula hari ini.
Azrul bagaimanapun memohon penangguhan hukuman bagi memfailkan notis rayuan dan mahkamah membenarkan dengan syarat ia difailkan hari ini, manakala jaminan dikekalkan pada RM12,000. – KOSMO! ONLINE