BUAT julung kalinya, Anugerah Nanyang Emerging Icon (Anugerah Nanyang) bakal berlangsung pada Januari tahun depan dalam usaha mengiktiraf usahawan muda dan jenama ikonik di negara ini.
Bertemakan ‘Mencipta Kecemerlangan, Menerajui Masa Depan’, Anugerah Nanyang bukan sekadar pengiktirafan, sebaliknya sebuah platform strategik yang menghubungkan usahawan tempatan dan dunia.
Menurut penyelaras anugerah, Dr. Charmaine Loh, Anugerah Nanyang kini dibuka secara rasmi untuk penyertaan.
Ujarnya, anugerah itu memberi peluang kepada usahawan muda serta syarikat berpotensi tinggi mendapat pengiktirafan berprestij di peringkat nasional dan antarabangsa.
“Usahawan hari ini adalah ikon masa depan dan suara mereka wajar dilihat, diingati serta diikuti.
“Buat julung kalinya, anugerah ini dianjurkan oleh Nanyang Icon Holdings dengan sokongan media rasmi, akhbar Nanyang Siang Pau.
“Ia bertujuan mengiktiraf pencapaian cemerlang dalam kepimpinan perniagaan, inovasi, tanggungjawab sosial korporat (CSR) serta kekuatan jenama yang berpengaruh,” katanya kepada Kosmo!.
Jelasnya, Anugerah Nanyang terbahagi kepada tiga kategori utama iaitu individu, CSR dan inovasi jenama serta kategori tertinggi.
“Bagi kategori individu, ia merangkumi tiga anugerah di bawahnya iaitu Nanyang Young Entrepreneur of The Year (menghargai usahawan berusia bawah 40 tahun memiliki potensi besar, inovatif dan berpengaruh); Nanyang Male Entrepreneur of The Year (mengiktiraf tokoh lelaki dengan kepimpinan dan sumbangan luar biasa dalam industri) serta Nanyang Female Entrepreneur (penghormatan kepada wanita pemimpin yang berani, berwawasan dan membawa impak sosial).

“Bagi kategori CSR dan inovasi jenama pula, ia terbahagi kepada lima anugerah iaitu CSR Icon Award (syarikat yang menyerlah di dalam bidang komuniti, pendidikan dan tanggungjawab sosial); Technology & Digital Icon Award (organisasi yang berjaya melalui inovasi teknologi dan transformasi digital) dan Innovation Icon Award (perniagaan yang menerajui produk, model atau perkhidmatan baharu).
“Dua lagi kategori adalah Brand Icon Award (jenama dengan pengaruh pasaran tinggi dan nilai jangka panjang) dan Culture Icon Award (syarikat yang memartabatkan warisan dan budaya serantau ke peringkat global).
“Manakala bagi kategori tertinggi pula, ia terbahagi kepada dua anugerah iaitu Business Icon Award (pengiktirafan kepada syarikat paling berwibawa sebagai penanda aras semangat niaga
Nanyang) dan Entrepreneur Icon Award (anugerah individu tertinggi kepada usahawan dengan visi merentasi generasi),” katanya.
Mengulas mengenai kelebihan, manfaat dan keunikan Anugerah Nanyang, Charmaine memberitahu, pemenang anugerah secara automatik akan menjadi sebahagian daripada rangkaian eksklusif
Nanyang Icon Circle yang terbahagi kepada empat kumpulan elit.
Antaranya adalah Star Class (personaliti awam, KOL dan pemimpin berpengaruh) dan Rising Icon (syarikat dengan pendapatan tahunan RM1 juta hingga RM10 juta).
Dua lagi kumpulan adalah Entrepreneur Circle (syarikat berkembang dengan pendapatan RM10 juta hingga RM30 juta) dan Titan Council (kumpulan elit usahawan dengan pendapatan melebihi RM30 juta).
Menerusi penyertaan itu, pemenang bukan sahaja menerima pengiktirafan rasmi dan liputan media bernilai tinggi, malah berpeluang menyertai program mentor, jaringan eksklusif serta akses kepada pelbagai peluang pelaburan serta kolaborasi strategik.
Mengulas mengenai cara penyertaan, Charmaine berkata, peserta hanya perlu melayari laman web, www.nanyangaward.com atau menerusi e-mel iaitu [email protected].
Seterusnya, peserta perlu memilih kategori sama individu atau syarikat, sebelum melengkapkan borang penyertaan rasmi dan membuat pembayaran serendah RM2,000 (tidak termasuk SST).
“Sekiranya tidak berjaya, peserta tetap akan menerima pakej media promosi bernilai sama sebagai tanda sokongan.
“Untuk pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi penyelaras anugerah di talian 011-3110 1888 (Terra) dan 011-3110 3888 (Charmaine),” katanya.














