RANTAU PANJANG – Penduduk yang terlibat dengan kegiatan penyeludupan melalui Sungai Golok di sini mula mencari pekerjaan lain sebagai persediaan susulan tindakan perobohan jeti dan pangkalan haram di sepanjang sungai itu yang akan bermula pertengahan Oktober ini.
Seorang penyeludup beras, Zahari Awang, 51, berkata, sejak kerajaan membuat keputusan untuk merobohkan pangkalan haram dengan kawalan ketat oleh pihak berkuasa, pendapatannya agak terjejas kerana sukar untuk menyeludup barangan dari negara jiran.
Susulan itu dia merancang untuk mencari pekerjaan lain iaitu dengan membuka gerai menjual air kelapa bagi menampung pendapatan untuk menyara keluarga.
“Sebelum ini saya mampu memperoleh pendapatan antara RM150 hingga RM300 sehari dengan menyeludup beras menggunakan bot.
“Bagaimanapun, pendapatan saya agak terjejas sejak kebelakangan ini apabila pihak berkuasa menjalankan penguatkuasaan ketat selain beberapa jeti dan pangkalan haram sudah ditutup bermula 1 Disember lalu.
“Justeru, saya bercadang untuk membuka gerai air kelapa menggunakan wang simpanan yang ada,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Seorang lagi penyeludup, Mamat Yusoff, 60, berkata, dia terpaksa meninggalkan kerja-kerja tersebut selepas mendapati pangkalan haram akan dirobohkan bermula bulan depan.
“Saya sendiri akan berhenti daripada pekerjaan itu kerana tidak berbaloi jika ditangkap selepas ini. Apabila jeti di pangkalan haram tutup, sukar untuk penyeludup membawa naik barangan di tebing Sungai Golok. Tidak berbaloi saya ditangkap ketika usia sudah tua begini,” katanya.
Mamat memberitahu, dia lihat ramai penyeludup cuba berniaga sendiri di tepi jalan selepas mereka mengetahui kerja meroboh pangkalan haram akan dilakukan oleh pihak berkuasa pada bulan depan.
Sementara itu, seorang ‘transporter’ wanita yang mahu dikenali sebagai Mah, 40, berkata, kehadiran anggota keselamatan termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA) yang menampal notis perobohan jeti dan pangkalan haram di tebing Sungai Golok menyebabkan dia berhenti daripada pekerjaan itu sejak sebulan lalu.
Menurutnya, dia sudah menjalankan kerja-kerja menyeludup petrol dan diesel sejak lebih sedekad lalu.
“Susah penyeludup mahu cari makan sekarang apabila penguatkuasaan ketat di Sungai Golok ditambah pula jeti di pangkalan haram akan diroboh.
“Sudah sebulan saya berhenti menyeludup petrol dan diesel. Mungkin saya akan membuat kuih-muih yang akan diletakkan di kedai-kedai kopi di kawasan kampung,” katanya.
Menurutnya, pekerjaan menyeludup petrol menghasilkan pendapatan lumayan apabila mampu mendapat upah RM100 untuk satu perjalanan dan dia mampu membuat lima perjalanan dalam sehari.
Katanya, dia sukar untuk meneruskan pekerjaan itu apabila kereta jenis Proton Saga miliknya disita oleh PGA apabila dia ditangkap melakukan kegiatan tersebut pada bulan lalu.
“Sudah tibanya saya cari pekerjaan lain dan mungkin akan membuat kuih-muih. Pangkalan haram pula akan diroboh pada bulan depan. Lagi susah untuk mencari makan,” katanya.
Kosmo! pada 22 September lalu melaporkan, imej negatif yang sering dikaitan dengan kawasan sempadan di Sungai Golok bakal terhakis selepas 153 daripada 212 jeti atau pangkalan haram di situ dirobohkan secara berperingkat bermula Oktober ini, sekali gus mengekang kegiatan penyeludupan yang berakar umbi sejak lebih 50 tahun lalu. -KOSMO! ONLINE














