fbpx
Ahmad Farhan (empat dari kiri) bergambar selepas menyerahkan resolusi kepada Penasihat Utama, Penyelidikan Dasar Halal Kebangsaan, Datuk Fadilah Baharin (tiga dari kiri) dan Setiausaha Agung SMIIC, Ihsan Ovut (empat dari kanan) pada Majlis Penutup MIHREC 2025.

Malaysia sasar jadi hab halal bersepadu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Malaysia terus memperkukuh kedudukannya sebagai pusat rujukan halal antarabangsa selepas Resolusi Strategik Halal diserahkan kepada kerajaan dan The Standards and Metro­logy Institute for Islamic Countries (SMIIC) pada Malaysia International Halal Research & Education Confe­rence 2025 (MIHREC 2025) di sini, kelmarin.

Menurut Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH) Universiti Putra Malaysia (UPM), resolusi itu mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Halal Malaysia sebagai badan penyelaras tunggal, mewujudkan perundangan bagi mengawal selia industri halal.

“Penubuhan suruhanjaya ini bagi menyelaras transformasi digital ekosistem halal melibatkan proses pensijilan dan keboleh­jejakan rantaian bekalan, serta pemerkasaan Badan Profesional Halal bagi mengiktiraf dan me­ningkatkan standard profesional
dalam industri,” katanya dalam ke­nyataan.

Ia turut mengenal pasti enam domain kritikal termasuk cabaran tadbir urus, kekangan akses pasaran global, jurang teknologi dan inovasi serta keperluan pembangunan bakat profesional halal.

Pengarah IPPH UPM, Prof. Dr. Awis Qurni Sazili berkata, resolusi tersebut menyokong peranan SMIIC sebagai penyelaras dan pemacu utama dalam mengukuhkan industri halal di seluruh negara anggota OIC.

“Resolusi ini bukan sekadar rangkuman pandangan, tetapi juga cadangan inisiatif berasaskan data untuk pelan tindakan yang selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-13, Halal Industry Master Plan 2030 dan New Industrial Master Plan 2030.

“Jika dilaksanakan, Malaysia berpotensi menjadi pusat rujukan global halal yang disegani,” katanya.

Tambah beliau, resolusi itu juga mengutarakan konsep ‘servant leader’, yang menekankan kerjasama semua pihak di seluruh dunia berlandaskan ‘shared amanah’.

“Konsep kepimpinan ini menuntut semua pemegang taruh memikul tanggungjawab secara kolektif dan jujur, berintegriti dan komited dalam mengurus ekosistem halal dengan penuh kepercayaan dan telus,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UPM, Datuk Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah berkata, MIHREC 2025 bukan sahaja meraikan pencapaian penyelidikan halal, malah mengukuhkan usaha bersama dalam memacu industri halal ke masa hadapan.

Jelasnya, bidang kesihatan dan kesejahteraan halal adalah nadi kehidupan yang melindungi masyarakat, memperkukuh ekonomi dan memberi jaminan kepada dunia bahawa halal adalah standard kecemerlangan.

“Resolusi ini bukan sekadar simbolik, sebaliknya melambangkan peralihan idea dan komitmen kolek­tif kita kepada panduan tindakan yang boleh diguna pakai oleh pemegang taruh di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.

MIHREC 2025 yang berlangsung selama dua hari di The Everly, Putrajaya menghimpunkan lebih 200 peserta terdiri daripada penyelidik, ahli akademik, pemain industri dan penggubal dasar dari dalam serta luar negara.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN