PUTRAJAYA – Malaysia dengan tegas mengecam tindakan terkini yang mengancam keselamatan Global Sumud Flotilla, seterusnya menuntut agar segala ancaman keganasan itu dihentikan serta-merta.
Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, Malaysia juga meminta agar laluan tanpa halangan bagi peserta dan kapal flotilla juga dijamin selamat.
“Malaysia menegaskan bahawa Global Sumud Flotilla, sebuah misi kemanusiaan aman untuk menyampaikan bantuan segera ke Gaza, adalah sah di sisi undang-undang.
“Konvoi itu juga amat penting memandangkan berlakunya genosid dan kebuluran berterusan di Wilayah Palestin,” katanya hari ini.
Wisma Putra berkata, sehingga kini, seramai 34 peserta Malaysia yang berada dalam flotilla tersebut dilaporkan dalam keadaan selamat.
“Malaysia berdiri teguh bersama Palestin dan sekali lagi menegaskan gesaan bagi menamatkan segera genosid serta sekatan haram ke atas Gaza,” katanya.
Terdahulu, sekurang-kurangnya 15 dron yang tidak dikenal pasti dilaporkan berlegar rendah setiap 10 minit di ruang udara mengekori rombongan Global Sumud Flotilla yang sedang dalam pelayaran menuju Gaza.
Pada masa sama, berlaku 12 letupan udara dilaporkan oleh delegasi dan kapal berdekatan yang dipercayai sebagai ugutan terbuka terhadap misi ini.
Untuk rekod, kapal GSF kini berada di zon kelabu, perairan Greece, sekitar 750 batu nautika dari Gaza dan belum memasuki Zon Kuning atau Merah.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan, beliau akan berhubung dengan rakyat Malaysia yang menyertai konvoi Global Sumud Flotilla ke Gaza, esok.
Menurut Ahmad Zahid, beliau akan berhubung dengan rakyat Malaysia itu menerusi panggilan video. – KOSMO! ONLINE