SUNGAI PETANI – Cubaan dua lelaki tempatan mengangkut enam pendatang asing tanpa izin (PATI) menggunakan sebuah lori satu tan gagal apabila kesemua mereka dicekup dalam Op Pintas di Bedong, dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, penahanan itu dilakukan kira-kira pukul 4.30 petang oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda.
Katanya, lori jenis Daihatsu berwarna merah dengan bahagian belakang ditutup kanvas ditahan di tepi jalan pekan Bedong.
“Hasil pemeriksaan menemui enam lelaki warga asing, masing-masing tiga dari Myanmar dan Indonesia berusia antara 20 hingga 51 tahun.
“Mereka didapati berbaring di dalam lori itu dan hasil pemeriksaan, kesemua warga asing terbabit tidak mempunyai dokumen pengenalan diri,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, enam PATI tersebut dipercayai baru sahaja memasuki negara ini melalui laluan tikus di sempadan dan siasatan ke atas mereka dilakukan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963.
“Sementara itu, dua lelaki tempatan yang bertindak sebagai transporter ditahan di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007,” katanya. – KOSMO! ONLINE