NEW DELHI – Seorang lelaki nekad menggigit kepala seekor ular tedung hitam sehingga mati selepas dia diserang reptilia tersebut di negeri Andhra Pradesh, India, lapor portal berita The Hindu.
Kejadian berlaku di perkampungan Chiyyavaram dalam daerah Tirupati, Khamis lalu.
Mangsa dikenali sebagai Venkatesh, 48, dipatuk haiwan tersebut ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya.
Dalam keadaan mabuk, Venkatesh segera menangkap ular itu lalu menggigit kepalanya sehingga mati. Dia kemudian membawa pulang bangkai reptilia itu dan tidur di sebelahnya.
Bagaimanapun, keadaan Venkatesh semakin merosot pada keesokan hari, menyebabkan dia dibawa ke Hospital Kawasan Srikalahasti untuk rawatan kecemasan.
Dia dipindahkan ke Hospital Besar Kerajaan Ruia apabila bisa ular telah merebak ke seluruh tubuhnya.
Doktor memberitahu bahawa keadaan Venkatesh masih kritikal dan dia berada di bawah pemantauan rapi. – AGENSI