LUMUT – Seorang warga emas berhadapan hukuman gantung sampai mati apabila dia didakwa di Mahkamah Majistret Seri Manjung di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang penghuni rumah orang tua di Pangkor pada 17 Ogos lalu.
Tertuduh, Ong Thean Sun, 73, mengangguk faham apabila pertuduhan dibacakan kepadanya oleh jurubahasa di hadapan Majistret Fakhrul Radzi Abd. Hamid, namun tiada sebarang pengakuan direkodkan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian rakannya, Tan An Man, 73.
Perbuatan itu dilakukan di Pertubuhan Pengurusan Rumah Warga Tua Pangkor, Sungai Pinang Kecil, Pangkor, antara pukul 12.40 tengah hari hingga 1 petang pada 17 September lalu.
Thean Sun didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara tidak kurang 30 tahun tetapi tidak lebih 40 tahun dan jika tidak dihukum mati akan dikenakan tidak kurang 12 sebatan.
Tiada jaminan ditawarkan dan mahkamah menetapkan 24 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nuranisah Ismah Muhammad Husaini manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Media sebelum ini melaporkan pergaduhan antara dua penghuni rumah orang tua berkenaan berakhir dengan tragedi apabila seorang daripadanya meninggal dunia dengan kesan kecederaan di kepala.
Suspek yang meninggalkan rumah orang tua itu kemudiannya ditahan oleh pihak polis di sebuah kedai makan di Sungai Pinang Kecil sebelum dikenakan reman selama tujuh hari. – KOSMO! ONLINE