SEREMBAN – Isu penjenamaan semula beberapa nama destinasi pelancongan terutamanya di negeri ini perlu diteliti dengan berhati-hati kerana dikhuatiri boleh menimbulkan kekeliruan, khususnya dalam kalangan pelancong luar negara.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, dari sudut aspek pelancongan ia tidak memerlukan banyak perubahan dan perkara yang wajar diberi keutamaan adalah menyelesaikan isu-isu tempatan yang lebih mustahak.
“Kalau nama destinasi pelancongan ditukar, orang boleh keliru terutamanya pelancong luar. Contohnya seperti Port Dickson jika ditukar kepada nama lain, bagaimana hendak dijelaskan kepada seluruh dunia. Tidak semua pelancong mengikuti maklumat yang disampaikan melalui media sosial,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai tindakan gabungan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang menggerakkan usaha mengumpul petisyen bagi menukar nama Port Dickson kepada Pantai Dermaga selari dengan usaha menyingkirkan nama-nama peninggalan penjajah daripada identiti negara.
Bagaimanapun, katanya, keputusan untuk menukar nama itu terpulang kepada kerajaan negeri, namun secara peribadi, beliau berpendapat pengekalan nama sedia ada.-KOSMO! ONLINE