fbpx
Fastrac Two berjaya mencapai kelajuan mencecah 217.57 km/j ketika ujian di Lapangan Terbang Elvington, Britain.

Traktor terpantas di dunia, kelajuan cecah 217 km/j

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SECARA umumnya, traktor boleh dikategorikan sebagai ‘kenderaan rasmi’ yang sering menghiasi pandangan di kawasan pertanian. Ini kerana kenderaan itu berfungsi untuk membantu petani membajak tanah, menanam, menuai hasil dan mengangkut hasil tanaman dengan lebih cepat.

Dengan saiznya yang besar dan bersifat tahan lasak, kenderaan itu sering dilihat bergerak perlahan sama ada di laluan off-road atau jalan biasa.

Namun, produktiviti kenderaan itu mungkin berubah jika kelajuannya mampu mencecah sehingga 217.57 kilometer sejam (km/j).

Baru-baru ini, syarikat pengeluar jentera terkenal dari Britain, JCB telah mengumumkan model Fastrac Two yang dinobatkan sebagai traktor terpantas di dunia.

Kejayaan itu lantas memecah rekod dunia yang sebelum ini turut dipegang oleh traktor keluaran JCB.

Traktor seberat lebih enam tan itu berjaya mencapai kelajuan yang tidak masuk akal boleh dilakukan oleh sebuah jentera pertanian.

Menariknya, traktor itu masih mengekalkan ciri-ciri keselamatan dan kestabilan ketika pecutan maksimum.

Fastrac Two yang dibangunkan khas oleh pasukan jurutera JCB merupakan kesinambungan daripada kejayaan model Fastrac One yang sebelum ini mencatat kelajuan 166.7 km/j.

Rekod terbaharu itu sekali gus mengukuhkan kedudukan JCB sebagai peneraju inovasi dalam industri jentera berat.

Pegawai Inovasi dan Pertumbuhan JCB, Tim Burnhope berkata, bukan mudah kenderaan seberat itu mampu berhenti dengan selamat selepas bergerak melebihi 200 km/j.

“Traktor seberat lebih enam tan mampu mencapai kelajuan luar biasa dan selamat berhenti, bukanlah satu tugas yang mudah.

“Tetapi kami berjaya mengatasi semua itu dengan selamat.

“Kami berasa sangat bangga kerana mencapai matlamat untuk menghasilkan traktor terpantas di dunia,” katanya dalam rancangan Top Gear.

Rekod luar biasa yang dicatatkan di Lapangan Terbang Elvington, Yorkshire, Britain kini menjadi bukti baharu dalam sejarah traktor.

Walaupun kelihatan seperti sebuah projek eksperimental, namun pencapaian itu memberi mesej besar kepada industri pertanian global.

Ia membuktikan bahawa jentera moden boleh menyeimbangkan fungsi praktikal di ladang dengan teknologi canggih dan menjadi inspirasi untuk dunia pertanian.

Pengerusi JCB, Lord Bamford berkata, projek tersebut mampu menjadi dorongan kepada golongan muda untuk melihat bidang kejuruteraan pertanian sebagai sesuatu yang menarik dan berprestij.

“Kami mahu generasi muda melihat bahawa kejuruteraan bukan hanya membina mesin untuk ladang, tetapi juga boleh membawa mereka ke peringkat dunia.

“Rekod itu adalah cara kami menunjukkan bahawa sektor ini penuh dengan potensi dan kebanggaan,” katanya.

Martin merupakan individu yang bertanggungjawab memandu Fastrac Two sehingga berjaya mencatatkan rekod dunia.

Bamford turut menegaskan bahawa projek tersebut bukan sekadar untuk mencatat nama dalam buku rekod dunia, sebaliknya ingin membuktikan keupayaan inovasi pasukan jurutera syarikat tersebut.

“Kami di JCB sentiasa percaya bahawa semangat inovasi tidak seharusnya terhad.

“Meneroka had kemampuan sebuah traktor adalah cara terbaik untuk membuktikan bahawa kreativiti serta kepakaran pasukan jurutera kami.

“Pencapaian ini menjadi bukti bahawa jentera berat boleh direka dengan kelajuan dan prestasi yang luar biasa, tanpa mengabaikan aspek keselamatan,” katanya.

Fastrac Two dilengkapi dengan enjin JCB DieselMax 7.2 liter yang dipertingkatkan sehingga mampu menghasilkan 1,016 kuasa kuda serta tork (daya kilas) 2,500Nm.

Jentera tersebut turut dipasang dengan sistem aerodinamik khas, suspensi laras semula serta tayar yang direka khusus untuk menampung kelajuan ekstrem.

Selain itu, berat traktor berkenaan dioptimumkan dengan penggunaan komponen ringan berasaskan gentian karbon tanpa mengorbankan kekuatan struktur.

Sistem brek juga dinaik taraf bagi membolehkan kenderaan itu berhenti dengan selamat selepas pecutan maksimum.

Terdapat juga payung udara khas atau parachute brake pada bahagian belakang kenderaan bagi membantu memperlahankan pergerakan selepas pecutan.

Untuk makluman, traktor berkenaan juga dilengkapi sistem brek tambahan bagi membantu brek konvensional, sekali gus memastikan kenderaan itu berhenti dengan selamat.

Mengendalikan traktor berkuasa tinggi bukanlah satu tugas mudah, namun ia berjaya dipikul oleh Guy Martin iaitu bekas pelumba motosikal popular di Britain.

Martin yang kini aktif sebagai pengacara televisyen telah dijemput oleh JCB untuk menjadi pemandu uji Fastrac Two dalam percubaan rekod kelajuan.

Beliau yang sememangnya sinonim dengan projek berisiko tinggi menyifatkan pengalaman memandu Fastrac Two sangat sukar digambarkan.

“Saya pernah menunggang motosikal lumba dengan kelajuan tinggi, tetapi memandu sebuah traktor seberat ini pada kelajuan lebih 200 km/j adalah sesuatu yang berbeza.

“Ia mencabar, mendebarkan, tetapi pada masa sama menyeronokkan.

“Pasukan jurutera JCB telah melakukan kerja yang luar biasa untuk memastikan jentera ini stabil dan selamat ketika dipandu pada kelajuan maksimum,” ujar Martin selepas mencatat rekod dunia berkenaan.

Kejayaan Fastrac Two bukan sahaja melakar nama dalam Guinness World Records, malah menjadi simbol gabungan antara inovasi, keberanian dan semangat untuk mencabar kebiasaan.

Fastrac Two bukan sekadar sebuah mesin pertanian, sebaliknya ia adalah ikon teknologi moden serta simbol kejuruteraan Britain, sekali gus dapat memberi inspirasi kepada generasi baharu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN