IPOH – Seorang kakitangan awam didenda RM500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan berkelakuan tidak senonoh dengan meninggikan suara terhadap Ketua Polis Perak, Mei lalu.
Tertuduh, Abang Fikri Abang Mohd. Tawfik, 37, juga berdepan hukuman penjara tujuh hari jika gagal membayar denda berkenaan.
Hukuman tersebut dijatuhkan terhadap lelaki yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh itu selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret Mohd. Harith Mohd. Mazlan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di dalam pejabat Ketua Polis Perak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak pada pukul 1.30 petang, 26 Mei 2025.
Mengikut fakta kes, pada pukul 1.30 tengah hari pada 26 Mei lalu, tertuduh telah datang ke IPK Perak untuk berjumpa dengan Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin bagi mengetahui status kertas siasatan tatatertib yang dibuka terhadapnya pada tahun 2017.
Tertuduh yang bertugas sebagai kerani itu kemudian melulu masuk ke Pejabat Ketua Polis Perak dan mengamuk sebelum bertindak meninggikan suara kepada beliau.
Laporan polis dibuat terhadap lelaki itu dengan tangkapan dijalankan pada pukul 3 petang hari yang sama. – KOSMO! ONLINE