MENGGONDOL empat trofi utama pada Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) adalah satu detik terindah dalam kamus kerjaya seni pemuzik bernama Aina Abdul.
Pada malam kemuncak yang berlangsung di Genting Highlands itu, Aina memenangi empat kategori iaitu Vokal Wanita Terbaik, Lagu Terbaik, Lagu Pop Terbaik melalui single Jangan Mati Rasa Itu dan Rakaman Album Terbaik menerusi album Imaji Deluxe Edition.
Menerusi kategori Vokal Wanita Terbaik, Aina menewaskan empat nama besar lain seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Marsha Milan, Liza Hanim dan Ernie Zakri.
Mengakui AIM merupakan medan anugerah yang paling dinanti-nantikannya sejak bergelar anak seni, pemilik nama penuh Nurul Aina Abdul Ghani itu tidak menyangka karya seninya dihargai dengan cara yang luar biasa.
Aina tidak menyangka karya yang diluncurkan pada tahun 2023 itu membantu menyembuhkan banyak belahan jiwanya yang terluka.
“Memang tak sangka dihargai seperti ini menerusi lagu Jangan Mati Rasa Itu ditambah pula karya ini antara yang sangat bermakna dalam hidup saya.
“Sebagai penulis lagu dan penyanyi, ini adalah pencapaian tertinggi.
“Terima kasih Allah SWT kerana sentiasa hadirkan karya ataupun nada melodi lagu yang terbaik untuk saya.
“Kadang-kadang mungkin saya buat lagu itu untuk menyembuhkan hati terluka, tapi sebenarnya saya tak sangka lagu itu menyembuhkan hati peminat yang melalui situasi sama di luar sana,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Dia yang lahir menerusi program realiti, Mentor Legend pada 2014 berharap kejayaan yang diraihnya hari ini menjadi penguat semangat rakan seangkatan lain untuk terus menghasilkan karya hebat kelak.
“Saya harap benda yang positif dapat memberi inspirasi terbaik dan semangat kepada orang lain untuk melawan segala kesusahan dalam industri ini sebab saya tahu memang tidak mudah.
“Semoga penyanyi-penyanyi di luar sana yang mungkin senasib dengan saya termasuk yang tidak berada di bawah mana-mana syarikat rakaman, jangan pernah putus asa.
“Setiap lagu yang kalian nyanyi dan tulis, sentiasalah berfikir lebih jauh daripada apa yang kalian jangkakan,” jelasnya.
Mulut netizen
Ditanya sama ada percaya kemenangan akan menutup mulut ramai pihak yang sebelum ini kerap menabur kecaman terhadap perjalanan seninya, Aina berkata, akhirnya dia dapat merasai bahagia di sebalik semua keperitan tersebut.
Aina juga bahkan berterima kasih kepada kelab peminatnya, Ainations kerana sentiasa menjadi penyokong terkuat sepanjang bergelar anak seni.
“Saya boleh katakan kritikan mereka itu perit untuk didengar, namun sebab mereka jugalah nama saya kerap dipetik dalam media sosial.
“Jadi itu pun salah satu anugerah untuk saya. Untuk buat orang ingat siapa Aina Abdul.
“Terima kasih kepada Ainations kerana sentiasa menjadi tentera saya. Saya mungkin tak baca semua komen, tetapi mereka lakukannya,” jelas pelantun lagu Sumpah itu.
Pembenci juga bantu
Sedar sering menjadi sasaran kecaman netizen yang suka melemparkan kata-kata negatif mengenai lagu dan fesyennya, Aina bagaimanapun enggan membebankan fikirannya dengan perkara tersebut.
“Tahu saya tak boleh tutup mulut mereka. Tidak kisahlah saya ada anugerah setinggi mana pun, pembenci akan sentiasa menjadi pembenci.
“Namun, saya tidak fokus kepada mereka sebaliknya kepada peminat yang sentiasa menyokong dan menaikkan nama saya,” tuturnya.
Empat trofi yang dimiliki di pentas AIM24 pastinya meletakkan satu penanda aras baharu dalam kerjaya seninya selain perlu bersedia dengan jangkaan lebih tinggi daripada peminatnya.
Akui Aina, dia masih belum bersedia untuk berdepan dengan perkara tersebut selain memohon ruang daripada orang ramai.
“Sebenarnya saya tidak bersedia pun. Beri saya waktu tetapi dalam masa sama akan persiapkan diri untuk lebih kuat selepas ini dan hasilkan lebih banyak lagu. Doakanlah,” ujarnya seraya mengakhiri perbualan