fbpx
MOHAMAD FAIZ FARHAM dibantu petugas JPJ ketika memperbaharui lesen di JPJ Indera Mahkota di Kuantan hari ini.

Tak sangka, hanya dua minit perbaharui lesen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUANTAN – Seorang penghantar makanan tidak menyangka hanya mengambil masa kira-kira dua minit untuk memperbaharui lesen memandunya hari ini.

Mohamad Faiz Farham Mohd Zawawi,30, berkata, dia bergegas ke kaunter Jabatan Pengangkutan jalan (JPJ) Indera Mahkota di sini hari ini bersama isterinya selepas melihat tular dalam media sosial orang ramai beratur di kaunter JPJ di Putrajaya.

Katanya, dia yang sampai kira-kira pukul 11 pagi di JPJ Indera Mahkota di sini pada mulanya menyangka perlu berbaris panjang, terkejut apabila keadaan agak lengang dan dapat berurusan dengan begitu pantas.

“Saya memang ingat kena beratur panjang dan bergegas ke sini, namun saya terkejut kerana keadaan tenang dan petugas JPJ juga begitu cepat membantu saya melakukan urusan pembaharuan lesen.

“Keadaan di kaunter JPJ di sini juga begitu selesa dan tenang dan saya jangka memang tidak akan sesak apatah lagi difahamkan ia juga akan dibuka pada hari Sabtu dan Ahad selepas ini,”katanya.

Mohamad Faiz Farham berkata, dia lambat memperbaharui lesen memandu kerana terlupa akibat kekangan kerja setiap hari dan hanya menyedarinya selepas dimaklumkan oleh isterinya.

Katanya, pembaharuan lesen itu penting bagi memastikan dia mendapat faedah subsidi memandangkan pekerjaanya sebagai penghantar makanan yang perlu sentiasa menggunakan kenderaan.

Sementara itu mengikut kenyataan Unit Korporat JPJ Pahang, pihaknya telah bersedia sepenuhnya untuk menerima kehadiran orang ramai untuk melakukan apa sahaja urusan berkaitan termasuk pembaharuan lesen.

Katanya, dalam usaha melancarkan inisiatif Budi Madani RON95 (Budi95), JPJ Pahang bertindak seiring dengan Ibu Pejabat JPJ untuk menambahkan pengoperasian khidmat kaunter lesen memandu dan kaunter pelbagai setiap Sabtu dan Ahad bermula 27 September hingga 26 Oktober depan bermula pukul 8.30 pagi hingga pukul 4.30 petang.

Katanya, penambahan waktu pengoperasian kaunter lesen memandu dan kaunter pelbagai yang melibatkan lapan cawangan di negeri Pahang termasuk JPJ Pahang dan JPJ UTC itu diharap dapat memudahkan orang ramai dalam urusan semakan dan pembaharuan lesen memandu yang akan menikmati inisiatif Budi95.

Tambahnya, orang ramai juga boleh menghubungi pihak JPJ untuk membuat pertanyaan dan memudahkan urusan termasuk dalam membuat rayuan pembaharuan lesen yang telah tamat tempoh.

JPJ juga menyediakan pelbagai saluran untuk memudahkan urusan orang awam dalam membuat semakan dan pembaharuan melalui aplikasi MyJPJ, portal mySIKAP dan kios JPJ.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI