LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Arne Slot mengesahkan lima bintangnya termasuk Mohamed Salah akan direhatkan daripada terlibat menentang kelab divisyen kedua, Southampton untuk pusingan ketiga Piala Liga Inggeris (EFL) di Anfield awal pagi esok.
Juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu berada pada momentum terbaik menerusi enam kemenangan berturut-turut termasuk lima perlawanan liga dan satu Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim ini.
Ia termasuk kemenangan tipis 2-1 ke atas Everton dalam derbi Merseyside di Anfield hujung minggu lalu sekali gus menyebabkan Slot merancang untuk merehatkan pemain-pemain utamanya.
“Ini sebab utama kenapa pasukan seperti kami memerlukan skuad yang besar seperti ini kerana pemain perlu bermain banyak perlawanan. Ia bukan alasan dan kami menerimanya.
“Perkara bagusnya ialah saya boleh membuat penggiliran dan merehatkan mereka yang sudah kerap bermain 90 minit seperti Virgil (van Dijk), Ibou (Ibrahima Konate), Mo (Salah), Ryan (Gravenberch) dan Dom (Dominik Szoboszlai).
“Saya beritahu anda semua tidak akan melihat mereka pada Selasa ini (menentang Southampton awal pagi esok),” kata Slot.
Dua pemain pertahanan seperti Milos Kerkez dan Conor Bradley dijangka kekal berada dalam kesebelasan utama menentang Southampton selain Federico Chiesa serta Trey Noni juga diramal memulakan perlawanan itu.
Selepas bertemu Southampton, Liverpool akan bertandang ke London untuk menentang satu lagi pasukan yang masih belum tewas dalam aksi liga musim ini, Crystal Palace di Selhurst Park pada Sabtu ini. – AGENSI