SUNGAI PETANI – Seorang lelaki sanggup terjun ke dalam lumpur dan meninggalkan anak berusia 10 tahun bagi mengelak dicekup Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam Ops Cegah Khas 3.0 dekat Jeti Pasar Bisik, Kuala Muda di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, lelaki dipercayai warga tempatan itu bertindak sedemikian selepas dikejar anggota AADK.
Lelaki terbabit merangkak di kawasan berlumpur sejauh kira-kira 150 meter sebelum berenang di Sungai Muda dan lolos di sempadan negeri Pulau Pinang.
Difahamkan lelaki berkenaan sering membawa anaknya untuk menagih dadah di sarang penagihan di tepi jeti pendaratan ikan di kawasan berkenaan sejak sebulan lalu.
Kanak-kanak itu kemudiannya diserahkan kepada ahli keluarganya oleh AADK.
Pengarah AADK Kedah, Khairul Anuar Ahmad berkata, seramai 35 orang didapati positif pelbagai jenis dadah dan ditahan untuk tindakan lanjut.
“Kesemua mereka berusia antara 19 hingga 61 tahun termasuk dua daripadanya merupakan wanita ditahan mengikut Seksyen 3(1)(a) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya. – KOSMO! ONLINE