JAKARTA – Seorang guru kontrak di Indonesia mengundang perhatian orang ramai apabila mendedahkan bahawa dia dibayar cuma 50,000 rupiah (RM13) untuk enam bulan mengajar, lapor portal berita Lambe Turah.
Perkara itu dikongsi di platform TikTok oleh akaun @penasar4nbangetya baru-baru ini.
Menurut pemilik akaun dikenali sebagai Miranda itu, dia bukan tidak bersyukur tetapi kecewa apabila guru lantikan kontrak diberi gaji cuma 50,000 rupiah.
“Gaji tersebut dibayar pada 20 September lalu.
“Duit itu merupakan gaji untuk enam bulan mengajar. Bagaimana anda boleh hidup pada zaman sekarang yang semua benda serba mahal? Saya amat kecewa kerana pemimpin tidak menghargai jasa seorang guru,” demikian menurut keterangan video itu.
Klip video itu mencatatkan lebih 396,000 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi.
“Kalau dikira, anda menerima 9,000 rupiah (RM2.26) sebulan. Ayam penyet sahaja sudah 10,000 rupiah (RM2.52),” kata seorang netizen.
“Berhenti sahaja. Ijazah anda lebih mahal dari gaji sekarang,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI