COPENHAGEN – Lapangan terbang Copenhagen di Denmark ditutup semalam selepas beberapa dron tidak dikenali dikesan terbang berhampiran, menyebabkan 15 penerbangan dilencongkan, kata polis dan pegawai lapangan terbang kepada AFP.
“Ruang udara lapangan terbang Copenhagen ditutup sejak pukul 8.30 malam (waktu tempatan) selepas dua hingga tiga dron yang tidak dikenali dikesan. Tiada pesawat boleh berlepas atau mendarat,” kata jurucakap lapangan terbang, Lise Agerley Kurstein.
Kurstein berkata, kira-kira 15 penerbangan telah dilencongkan ke lapangan terbang lain.
Sementara itu, polis Copenhagen berkata, tiga atau empat dron besar dilihat terbang di kawasan lapangan terbang.
“Ia berlegar-legar ke sana sini, datang dan pergi,” kata pegawai bertugas, Anette Ostenfeldt kepada AFP sekitar pukul 10.45 malam (waktu tempatan) sambil menambah, polis berada di lokasi kejadian untuk menyiasat.
Ostenfeldt bagaimanapun tidak pasti sama ada dron itu milik tentera atau awam.
“Namun, dron ini lebih besar daripada yang biasa dibeli oleh orang persendirian,” kata Ostenfeldt.
Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) melaporkan, operasi di lapangan terbang tersebut disambung semula pada kira-kira pukul 12.30 tengah malam (waktu tempatan) selepas penerbangan digantung selama hampir empat jam.
Polis berkata, beberapa langkah akan dilaksanakan sebagai sebahagian daripada siasatan, tetapi tidak mengesahkan apakah langkah-langkah itu. – AFP