fbpx
Sri Ganes (duduk, kanan) memeterai memorandum perjanjian antara SG TVET dengan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Kementerian Pendidikan Tinggi di Kuala Lumpur hari ini.

SG TVET bangunkan program latihan EV, hibrid di Politeknik Sultan Azlan Shah, Behrang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – SG TVET Group Berhad (SG TVET) melalui Autotronics Centre of Excellence (ACoE), hab latihan kenderaan elektrik (EV) bertauliah pertama di Malaysia, telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) dengan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Kementerian Pendidikan Tinggi baru-baru ini.

Kerjasama itu bertujuan untuk melahirkan tenaga mahir seiring dengan agenda mobiliti hijau negara  dan akan memfokuskan kepada usaha membangunkan program latihan EV dan hibrid di Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS), Behrang, Tanjung Malim, Perak.

Program tersebut dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 1,000 belia serta pekerja dewasa sekali gus ia akan menandakan usaha jangka panjang PPP dalam memperkukuh pembangunan bakat teknologi hijau negara.

Ketua Eksekutif Kumpulan SG TVET, Datuk P. Sri Ganes. berkata, menerusi kerjasama tersebut, pihaknya  akan melabur dalam kelengkapan, peralatan dan bahan habis pakai EV serta hibrid.

Ia turut merangkumi penyediaan modul latihan bertaraf antarabangsa termasuk kursus Servis Kereta Elektrik dan Hibrid SKM Tahap Tiga (PPA-PPT) serta pensijilan Institute of Motor Industry (IMI) dari United Kingdom.

PSAS dan JPPKK pula akan menyediakan kemudahan, ruang latihan, sokongan institusi serta tenaga pengajar bertauliah untuk mengikuti program latihan pengajar. Kedua-dua pihak turut memastikan pelaksanaan program sejajar dengan keperluan industri dan kelestarian.

“Pemilihan PSAS dibuat berdasarkan kedudukan strategiknya dalam Koridor Automotif Malaysia, berhampiran Proton City yang sedang berkembang sebagai hab automotif negara.

“Malah, pelancaran fasa pertama kilang pemasangan EV Proton di Tanjung Malim oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini turut mengukuhkan lagi kedudukan kawasan ini sebagai pusat pembangunan industri automotif negara.

“Kami yakin hab ini berpotensi menjadi pusat kecemerlangan latihan EV serta menyokong peralihan Malaysia ke arah elektrifikasi automotif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MOA tersebut ditandatangani Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Datuk Dr Mohd Zahari Ismail, bersama Sri Ganes.

Selain itu, beliau menerangkan, pelaburan dalam kelengkapan berteknologi tinggi serta pensijilan antarabangsa akan memastikan PSAS muncul sebagai hab EV khusus yang melahirkan tenaga kerja bersedia untuk masa depan mobiliti hijau.

“Kerjasama ini juga, seiring dasar kerajaan memperkukuh agenda elektrifikasi automotif selain memberi peluang kepada bakat tempatan di Perak dan seluruh negara menguasai kemahiran teknologi EV yang semakin berkembang,” terang beliau.

Selain melatih pelajar, SG TVET turut melaksanakan program Train the Trainers bagi meningkatkan kemahiran pensyarah PSAS. Jurulatih dan pelatih juga akan diberikan kelayakan yang diiktiraf di peringkat global.

Sehingga kini, menerusi Autotronics, SG TVET  telah berjaya melahirkan lebih 3,000 juruteknik EV bertauliah di seluruh negara dengan pensijilan tempatan dan antarabangsa, membolehkan mereka memenuhi keperluan tenaga kerja sektor tersebut.

Kerjasama baharu di Tanjung Malim ini turut menambah senarai pengembangan SG TVET Group selepas pelaksanaan program bersama Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) di Perai, Sandakan dan Melaka. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI