BRASILIA – Berpuluh-puluh ribu rakyat Brazil keluar menunjuk perasaan terhadap ahli-ahli parlimen ‘tidak tahu malu’ kerana meluluskan rang undang-undang (RUU) pengampunan yang boleh memberi manfaat kepada bekas presiden Jair Bolsonaro, sambil berusaha melindungi diri mereka daripada tuduhan jenayah.
Bolsonaro dijatuhi hukuman penjara 27 tahun minggu lalu kerana merancang rampasan kuasa dan beberapa hari kemudian, Kongres Brazil dikuasai ahli-ahli politik berfahaman konservatif meluluskan RUU pengampunan yang boleh memanfaatkan mereka serta Bolsonaro.
Bekas presiden itu didapati bersalah merancang menghalang Lula daripada memegang jawatan Presiden selepas menang dalam pilihan raya, dalam komplot rampasan kuasa yang gagal hanya kerana kurang sokongan barisan pegawai tinggi tentera.
“Tiada pengampunan,” kata penunjuk perasaan ketika berarak di berpuluh-puluh bandar di Brazil sambil membawa sepanduk tertera slogan, ‘Kongres Tidak Tahu Malu’.
Penunjuk perasaan menggelar RUU itu sebagai ‘Rang Undang-Undang Penjahat’.
Kongres kini berusaha menawarkan pengampunan kepada 700 penyokongnya yang disabitkan kesalahan menyerbu bangunan kerajaan seminggu selepas Lula memegang jawatan pada Januari 2023 menerusi RUU yang boleh memberikan pengampunan kepada Bolsonaro.
Meningkatkan lagi kemarahan rakyat, ahli-ahli parlimen meluluskan RUU untuk meningkatkan imuniti mereka, dengan alasan keperluan perlindungan daripada campur tangan kehakiman.
Presiden Luiz Inacio Lula da Silva meraikan protes itu dan menulis di laman Instagram: “Saya bersama rakyat Brazil. Demonstrasi hari ini (semalam ) menunjukkan bahawa rakyat tidak mahukan imuniti atau pengampunan (terhadap ahli parlimen).”
Lula telah berjanji menggunakan kuasa vetonya bagi membatalkan RUU tersebut. – AFP