SEREMBAN – Tindakan pantas bomba berjaya menghalang kebakaran daripada memusnahkan keseluruhan Blok B premis perniagaan di Pusat Perniagaan Borong Nilai 3, di sini, pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Komander Operasi Bakarya Mohd. Salleh berkata, hanya sebuah premis perniagaan barangan kelengkapan perkahwinan yang berada di tepi blok musnah kira-kira 70 peratus.
Menurutnya, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.18 pagi sebelum bergegas ke lokasi.
“Sebaik tiba, kira-kira 50 peratus daripada bangunan setingkat berkeluasan 30 x 50 meter itu sudah terbakar, melibatkan bahagian tengah.
“Namun hasil tindakan segera anggota, api berjaya dikawal dalam tempoh lebih 30 minit sekali gus mengelakkan kebakaran merebak ke keseluruhan blok B yang berkeluasan 30 x100 meter.
“Secara keseluruhan, sekitar 70 peratus premis di tepi blok termasuk siling dan barangan di dalamnya musnah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian. – KOSMO! ONLINE