IPOH – Pelan Strategik Pemerkasaan Pendidikan Sejahtera Negeri Perak 2030 yang dilancarkan hari ini bakal melahirkan lebih ramai anak negeri sebagai pemimpin masa depan, tokoh profesional dan pencetus inovasi.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, menerusi Pelan Strategik Pemerkasaan Pendidikan Sejahtera Negeri Perak 2030, empat kluster utama pendidikan telah dikenal pasti iaitu pendidikan awal, pengajian tinggi, pendidikan wanita, pendidikan tahfiz dan ikhtisas.
Beliau berkata, keempat-empat kluster itu agak signifikan bagi memastikan setiap lapisan masyarakat mempunyai laluan tersendiri untuk berjaya.
“Kluster pendidikan awal misalnya menumpukan literasi dan numerasi manakala kluster pendidikan wanita membuka peluang ke arah kebolehupayaan ekonomi keluarga, khususnya ibu tunggal.
“Kluster-kluster ini diperkukuh dengan sepuluh domain teras termasuk pembelajaran sepanjang hayat, keusahawanan, kebolehpasaran graduan, pembelajaran digital dan transformasi TVET.
“Dengan kerangka menyeluruh ini, pendidikan di Perak dapat bergerak seiring dengan keperluan semasa dan cabaran masa depan,” katanya ketika berucap di Pusat Konvensyen Casuarina Meru di sini hari ini.
Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Apresiasi Jelajah Nyalaan Bara Api (JNBA) 2.0 Bersama Cikgu Saarani Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan dan Pelancaran Pelan Strategik Pemerkasaan Pendidikan Sejahtera Negeri Perak. – KOSMO! ONLINE