fbpx
FAHMI

Meta gagal banteras kegiatan jenayah siber

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Penyedia platform media sosial, Meta didapati gagal gagal memberikan kerjasama sepenuhnya dalam membanteras aktiviti jenayah siber.

Kegiatan jenayah itu melibatkan aktiviti judi dalam talian, penipuan (scam), penyebaran berita palsu, kandungan bersifat 3R (Agama, Kaum, Institusi Diraja) serta penjualan produk terlarang (cecair e-rokok mengandungi dadah).

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, sejumlah 168,774 permohonan penurunan kandungan telah dikemukakan kepada pihak Meta bagi platform Facebook sahaja setakat 19 September lalu.

Katanya, jumlah ini mewakili 59 peratus daripada keseluruhan permohonan penurunan kandungan di semua platform media sosial, menjadikan Facebook sebagai platform dengan aduan tertinggi.

“Daripada jumlah tersebut, 120,127 permohonan adalah berkaitan judi dalam talian, namun hanya 114,665 kandungan diturunkan.

“Manakala bagi aktiviti scam, daripada 37,722 permohonan penurunan yang dibuat, 36,918 diturunkan. Baki kandungan masih kekal berlegar di platform Facebook, sekali gus menimbulkan kebimbangan serius,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, beliau mengadakan pertemuan dengan pihak Meta di pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Pertemuan itu turut disertai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) PDRM, wakil Pejabat Peguam Negara, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kewangan, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA).

Pertemuan memberi fokus kepada isu-isu kritikal membabitkan platform Meta khususnya Facebook termasuklah aktiviti judi dalam talian, penipuan (scam), penyebaran berita palsu, kandungan bersifat 3R (Agama, Kaum, Institusi Diraja) serta penjualan produk terlarang (cecair e-rokok mengandungi dadah).

Fahmi berkata, berdasarkan statistik Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), kes penipuan e-dagang di tiga platform Meta (Facebook, Instagram dan WhatsApp) bagi tempoh 2023 hingga Ogos 2025 mencatat jumlah kerugian terkumpul lebih RM248 juta, melibatkan 18,128 kes.

Katanya, jumlah tersebut menunjukkan Meta masih gagal memberikan kerjasama sepenuhnya dalam membanteras aktiviti jenayah siber.

“Hal ini memberi kesan kepada usaha pihak berkuasa untuk melindungi rakyat daripada ancaman jenayah dalam talian yang semakin meningkat,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, Meta memberi jaminan akan mempertingkatkan usaha dan kerjasama bagi memastikan kandungan yang menyalahi undang-undang dapat ditangani dengan lebih efektif.

Jelasnya, Meta dan semua platform media sosial lain telah diminta memperkenalkan mekanisme pengesahan umur dan identiti yang lebih berkesan (seperti penggunaan MyKad dan MyDigital ID, antara lain) untuk menghalang kanak-kanak bawah umur daripada membuka akaun.

“Ini kerana sistem sedia ada didapati masih gagal menyekat pengguna bawah umur, serta gagal melindungi mereka daripada kandungan tidak sesuai.

“Kerajaan ttidak akan sama sekali berkompromi dalam isu keselamatan digital. Meta dan semua penyedia platform media sosial wajib mengambil tanggungjawab yang lebih besar bagi memastikan kandungan yang melanggar undang-undang negara segera diturunkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI