BALING – Dua anggota polis ditahan bagi membantu siasatan kes pemerasan terhadap seorang lelaki yang kemudian ditemui meninggal dunia di Kampung Asam Jawa dalam mukim Pulai, di sini Jumaat lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Ahmad Salimi Md. Ali berkata, penahanan itu susulan laporan dibuat seorang wanita tempatan berusia 74 tahun kira-kira pukul 1.15 pagi, Sabtu lalu.
“Pengadu melaporkan semasa dia berada di rumah kira-kira pukul 7 malam Jumaat lalu, anak lelakinya berusia 32 tahun pulang dan mengadu dia ditahan polis yang menaiki motosikal.
“Dia mendakwa polis telah merampas telefon bimbit milik anaknya serta meminta wang RM200 untuk menebus semula telefon bimbit tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, semasa pengadu dan anaknya mahu menghantar wang tersebut, lelaki terbabit terjatuh dan tidak sedarkan diri.
“Penolong Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Parit Panjang yang hadir di tempat kejadian mengesahkan lelaki itu telah meninggal dunia.
“Bertindak atas maklumat awal, polis ke lokasi kejadian iaitu di rumah si mati dan hasil siasatan mendapati tiada sebarang kecederaan pada badan si mati dan tiada unsur jenayah,” ujarnya.
Jelasnya, hasil bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar mendapati punca kematian si mati adalah akibat serangan jantung secara mendadak tanpa kecederaan berunsurkan jenayah.
Susulan kejadian itu, kata beliau, polis membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan dan menahan dua anggota polis berusia 24 dan 27 tahun bagi membantu siasatan.
“Hasil semakan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan ujian urin adalah negatif.
“Mereka direman selama dua hari bermula semalam dengan kes disiasat atas kesalahan pemerasan,” katanya.
Tambahnya, kertas siasatan tatatertib telah dibuka dan siasatan terperinci terhadap kedua-dua anggota polis akan dilakukan bagi memberikan keadilan. – KOSMO! ONLINE