KLUANG – Seorang wanita yang juga ibu tunggal tidak mengaku salah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan khianat dengan api dengan mengambil upah daripada sindiket along di sekitar daerah kluang, awal bulan ini.
Tertuduh, Vun Lee Fon, 46, membuat pengakuan itu dan memohon untuk dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Mandarin di hadapan Hakim Mujib Saroji.
Mengikut kertas pertuduhan pertama, tertuduh melakukan khianat dengan api dengan niat menyebabkan kebinasaan dengan cara membakar sebuah kereta hingga menyebabkan pemiliknya kerugian RM688 di Jalan Suria Empat, Taman Matahari, pukul 4 pagi, 3 September lalu.
Bagi pertuduhan kedua, Lee Fon didakwa membakar kereta dan rumah seorang wanita di Jalan Permai 11, Taman Sri Permai, Kluang, antara pukul 3 hingga 3.30 pagi, 5 September lalu.
Timbalan Pendakwa Raya Nur Ramizah Ramli yang mengendalikan kes kemudiannya menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 bagi setiap tuduhan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam kemudiannya memohon dikurangkan wang jaminan dengan alasan perlu menjaga ibunya yang sudah tua dan uzur.
Mahkamah memutuskan jaminan sebanyak RM14,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan. Sebutan semula kes ditetapkan pada 15 Oktober depan bagi penyerahan dokumen dan lantikan peguam. – KOSMO! ONLINE