KOTA KINABALU – Prosiding inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir yang memasuki hari ke-11 hari ini dilaksanakan secara ‘in camera’ atau secara tertutup bermula hari ini kerana melibatkan saksi kanak-kanak.
Hanya mereka yang terbabit secara langsung dalam kes dibenarkan hadir dalam prosiding termasuk pihak yang berkepentingan serta pegawai undang-undang daripada Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) dan Kementerian Pendidikan yang hadir sebagai pemerhati prosiding.
Walaupun tiada perintah larangan pelaporan (gag order) dikeluarkan oleh Koroner Amir Shah Amir Hassan sepanjang prosiding berlangsung, beliau berulang kali mengingatkan semua pihak termasuk pihak media supaya mematuhi peruntukan mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.
Mahkamah Koroner bagi tempoh beberapa hari akan datang dijadualkan untuk mendengar keterangan lebih 30 orang saksi dalam kalangan kanak-kanak daripada sekurang-kurangnya 68 saksi yang disenaraikan.
Dalam pada itu, lapan saksi dewasa setakat ini tampil memberikan keterangan sejak prosiding bermula pada 3 September lalu. – KOSMO! ONLINE