ISKANDAR PUTERI – Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) memastikan skuad The Rhinos tersungkur di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam ini selepas mencatatkan kemenangan besar 8-0 dalam aksi Liga Super 2025/2026.
Duo penyerang kelahiran Brazil, Joao Figueiredo dan Bergson Da Silva muncul wira apabila meledak hatrik ketika membantu pasukan membelasah Sabah FC.
Pada perlawanan sama, Bergson turut mengukir sejarah apabila muncul penjaring terbanyak liga sepanjang zaman apabila meledak gol ke-109 peribadinya dalam tempoh lebih empat tahun bersama JDT.
Keputusan itu memastikan skuad kendalian Xisco Munoz mengekalkan rekod kemenangan 100 peratus dalam saingan Liga Super, nasib berbeza dialami Jean-Paul Marigny yang terus kempunan meraih kemenangan.
Pasukan tuan rumah berjaya membuka jaringan seawal minit keenam berpunca daripada larian lincah Arif Aiman Hanapi dari sayap kanan dan menghantar bola kepada Figueiredo sebelum mengumpan bola kepada Oscar Arribas yang membuat rembatan deras menewaskan Khairul Fahmi Che Mat.
Sebelum tamat babak pertama, Figueiredo melengkapkan jaringan hatrik setelah menyempurnakan umpanan Arribas dengan bersahaja apabila mrnguis bola menggunakan tumit bagi menambah derita pasukan Sabah.
Bersambung babak kedua, benteng pertahanan pasukan pelawat tampak lebih kemas dalam mengekang serangan JDT yang terus dahagakan jaringan.
Sebelum Mohd. Fusser membunyikan wisel penamat, Bergson melengkapkan jaringan hatrik apabila menyudahkan hantaran Arif Aiman dengan melepaskan rembatan deras menewaskan Khairul Fahmi pada masa kecederaan. – KOSMO! ONLINE