HULU TERENGGANU – Kawasan seluas 500 meter yang tercemar dengan gas butana ekoran kebocoran paip milik Petronas di Kampung Chabang, Kerteh, Kemaman dijangka stabil sepenuhnya dalam tempoh 48 jam.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, kerja-kerja untuk menyah sisa baki gas butana di dalam saluran paip terbabit sedang giat dijalankan.
“Petronas telah memasang sebuah alat suar mudah alih bagi membantu mempercepatkan pembakaran sisa gas butana berkenaan.
“Sebuah lagi peranti mudah alih sama yang kini berada di Kulim, Kedah akan dipasang di lokasi terjejas dalam masa terdekat,” katanya selepas merasmikan penutup program Kolaborasi Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) bersama JBPM di Taman Eko Rimba Sekayu di sini hari ini.
Nor Hisham berkata, buat masa ini kawasan terjejas yang ditutup kepada awam dan pekerja masih dikekalkan pada keluasan 500 meter.
Sebelum ini, satu satu paip milik Petronas Gas Berhad mengalami kebocoran di tapak projek Seksyen 5, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) berhampiran Kampung Chabang, Kerteh, Kemaman.
Kejadian pada pukul 9.53 pagi itu menyebabkan laluan Rangggon hingga Kerteh berhampiran terpaksa ditutup untuk kegunaan semua kenderaan buat sementara demi keselamatan.
Petronas Gas kemudiannya memberi jaminan insiden terbabit tidak akan menjejaskan bekalan gas kepada
pelanggan. – KOSMO! ONLINE