KUALA LUMPUR – “Kami tertekan diugut setiap hari untuk bayar hutang adik sedangkan dia sudah meninggal dunia”.
Demikian luah Lai, 51, apabila dikejar along berhubung pinjaman yang dibuat oleh adik iparnya, mendiang Yee Soon Yap, 44, daripada pengurup wang tidak berlesen.
Lai berkata, ahli keluarga adik iparnya itu telah diugut berkali-kali sejak September tahun lalu untuk membayar pinjaman tersebut.
“Adik ipar kami meninggal dunia akibat sakit jantung tahun lalu. Selepas itu (along) selalu datang ke rumah ibu bapa mentua saya di Kepong untuk menuntut hutang.
“Namun, sejak Mac lalu, mereka jumpa rumah saya di Cheras dan memberikan risalah menunjukkan foto adik ipar saya,” katanya pada sidang akhbar di Wisma MCA, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Lai berkata, sehingga kini ahli keluarganya tidak pernah mengetahui jumlah sebenar hutang pinjaman tersebut dan telah membuat tiga laporan polis berhubung kejadian.
“Kami tak tahu mengenai hutang itu, berapa jumlah yang perlu dibayar dan sebagainya. Tetapi pihak tersebut masih berkeras untuk minta kami bayar.
“Adik saya juga sudah dikebumikan, kalau mereka mahu wang itu, mereka kena datang kubur tuntut, bukan pada kami,” jelasnya.
Sementara itu, seorang mangsa dikenali sebagai Pek, 65, berkata, dia berasa sangat takut selepas menerima ugutan daripada along ekoran pinjaman yang dibuat oleh anaknya.
Bagaimanapun, menurut Pek, anak lelakinya yang berusia 41 tahun telah melarikan diri dari rumah sejak 4 September lalu.
Katanya, dia juga pernah membantu anaknya menyelesaikan pinjaman along sebelum ini berjumlah RM1.5 juta yang mana hutang itu dipercayai akibat kegagalan perniagaan.
“Pada 6 September lalu, saya menerima mesej dan video daripada along menyatakan mereka akan bakar rumah jika tidak bayar. Saya sangat bimbang dan takut sekiranya apa-apa berlaku kepada keluarga saya,” jelasnya.
Dalam pada itu, dua lagi mangsa berbeza iaitu Soon, 30, dan Chan Hock Hoe, 70, turut berdepan situasi sama apabila identiti mereka digunakan untuk membuat pinjaman wang.
Pekerja kecantikan, Soon berkata, dia terkejut menerima panggilan daripada beberapa along sebelum mendapati peminjam tersebut adalah kakak tirinya yang sudah tidak lagi berhubung sejak 18 tahun lepas.
Bagi pesara Hock Hoe, dia juga tidak menyangka anak lelakinya daripada perkahwinan kedua yang berusia 43 mempunyai tunggakan hutang berjumlah RM32,000.
Justeru, Penasihat Eksekutif Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, pihaknya akan bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia untuk menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE