KUALA LUMPUR – Ketagih berjudi dan inginkan kekayaan sekelip mata menjadi punca sebahagian besar individu membuat pinjaman daripada pengurup wang tidak berlesan atau along.
Penasihat Eksekutif Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, setakat Januari hingga 19 September lalu, sebanyak 281 kes pinjaman along direkodkan membabitkan hutang RM26.2 juta.
Menurutnya, hasil semakan daripada aduan yang diterima, pinjaman tersebut membabitkan seramai 2,949 along.
Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 244 kes melibatkan komuniti Cina, Melayu (23 kes), India (12 kes) dan lain-lain (2 kes).
“Lebih 80 peratus daripada kes komuniti Cina didapati berkaitan masalah perjudian. Bagi mereka, berjudi ini adalah salah satu cara yang paling berkesan dan cepat untuk kaya.
“Namun, bila kalah mereka sendiri terjerat dengan hutang dan ancaman,” katanya pada sidang akhbar di Wisma MCA, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Michael berkata, kebanyakan kes komuniti Melayu berkaitan dengan urusan perniagaan sementara India pula dipercayai untuk tujuan kelangsungan hidup.
“Melihat kepada data ini, saya kecewa dengan semua nasihat dan kempen yang telah laksanakan untuk mendidik masyarakat supaya tidak membuat pinjaman along.
“Mereka sepatutnya mendapatkan khidmat daripada pengurup wang berlesan atau bank,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE