KUALA KANGSAR – Hari Kuale Lenggang yang julung kali dianjurkan semalam akan dijadikan acara dwitahunan oleh Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) ekoran sambutan memberangsangkan diterima daripada lebih 7,000 orang pengunjung.
Yang Dipertua MPKK, Dr. Sakduddin Zamli berkata, program Hari Kuale Lenggang tersebut Kuala Kangsar sebagai pusat tarikan pelancong dan aktiviti komuniti, di samping memberi limpahan ekonomi kepada peniaga dan pemain industri pelancongan tempatan.
Beliau berkata, peniaga dan usahawan yang terlibat meluahkan rasa syukur atas ruang yang diberikan dan menzahirkan harapan agar program sedemikian diteruskan kerana ia membantu menambah pendapatan mereka serta mempromosi keunikan produk Kuala Kangsar.
“Penganjuran sulung Hari Kuale Lenggang membuktikan bahawa inisiatif berasaskan komuniti mampu menarik perhatian masyarakat setempat dan luar, sekali gus memperkukuh kedudukan Kuala Kangsar sebagai pusat budaya, pelancongan dan komuniti mapan di negeri Perak.
“MPKK berhasrat menjadikan Hari Kuale Lenggang sebagai acara dwitahunan ikonik yang terus diperkasakan dengan lebih banyak pengisian kreatif, kolaborasi strategik dan penglibatan masyarakat yang lebih luas pada masa akan datang,” katanya di sini hari ini.
Hari Kuale Lenggeng merupakan sebuah program komuniti anjuran MPKK, Think City, Yayasan Hasanah dan Visual Motion Lab.
Acara itu merupakan penganjuran julung kali yang mengambil inspirasi daripada program popular Kuale Car Free Day, namun diperluas dengan pengisian lebih pelbagai melibatkan budaya, gaya hidup, sukan dan kesedaran komuniti.
Lebih daripada 7,000 orang pengunjung telah menghadirkan diri ke acara tersebut yang berlangsung di Jalan Kangsar di sini.
Sakduddin berkata, kehadiran yang memberangsangkan itu membuktikan keterujaan masyarakat terhadap penganjuran Hari Kuale Lenggang sebagai satu aktiviti yang memperkukuhkan kerjasama antara agensi kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat.
Beliau berkata, antara program dianjurkan termasuklah Program Subuh Macam Jumaat, Lenggang Kuale 5KM Fun Run, Explorace Warisan dan Budaya, Kayuhan Basikal 25KM, persembahan tarian Orang Asli Ulu Bekor, jualan makanan warisan, persembahan kebudayaan kaum Melayu, Cina dan India serta HOHO bas ronda-ronda lokasi pelancongan Kuala Kangsar. – KOSMO! ONLINE