fbpx
Maimunah ketika berucap melancarkan Program Zon Sifar Sisa Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Pusat Penjaja Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kampung Baru, hari ini.

DBKL guna AI pantau paras sungai elak banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi memantau paras air sungai di ibu negara sebagai langkah awal menghadapi risiko banjir.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd. Sharif berkata, sensor khas dilengkapi teknologi AI dipasang di beberapa sungai sekitar ibu negara dan disambungkan terus ke Pusat Kuala Lumpur Command and Control Centre (KLCCC).

“Apabila paras air mencapai tahap bahaya, sensor tersebut akan menghantar isyarat kepada jurutera bertugas melalui aplikasi khas. Dengan maklumat itu, kita boleh ambil tindakan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Program Zon Sifar Sisa Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Pusat Penjaja Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kampung Baru, hari ini.

Menurutnya, kesiapsiagaan DBKL melibatkan dua peringkat pengurusan iaitu daerah dan dalaman.

“Di peringkat daerah, DBKL menyelaras bersama polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan lain-lain.

“Manakala di peringkat dalaman, DBKL menubuhkan pasukan khas dengan prosedur operasi standard (SOP) tertentu,” jelasnya.

Beliau berkata, beberapa aspek turut diberi perhatian termasuk memastikan pam berfungsi, kolam takungan bersih, longkang tidak tersumbat serta pemantauan terhadap insiden pokok tumbang.

Katanya, kajian telah dibuat terhadap lebih 130,000 pokok di ibu negara dan 40,000 daripadanya dipangkas kerana berada berhampiran jalan utama.

“Saya ucap terima kasih kepada kerajaan pusat kerana memperuntukkan RM20 juta bagi projek mitigasi banjir pada tahun lalu, manakala tahun ini sebanyak RM60 juta pula disediakan untuk pelaksanaan projek sama.

“Langkah ini diharap dapat mengurangkan risiko banjir di ibu negara,” ujarnya.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan fenomena La Nina singkat bakal melanda pada awal musim sejuk 2025/2026 namun keadaan dijangka kembali stabil ke paras neutral tidak lama selepas itu.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI