WASHINGTON – Setiausaha Akhbar White House, Karoline Leavitt mendedahkan butiran lanjut mengenai perjanjian yang dicapai antara Amerika Syarikat (AS) dengan China berhubung kawalan ke atas platform media sosial popular, TikTok, lapor laman berita NBC News.
Leavitt berkata, daripada tujuh kerusi lembaga pengarah yang mengawal syarikat itu, enam terdiri daripada rakyat AS.
“Perjanjian ini bermakna TikTok akan dimiliki secara majoriti oleh rakyat Amerika untuk pasaran AS.
“Akan terdapat tujuh kerusi dalam lembaga yang mengawal aplikasi ini di Amerika dan enam daripadanya adalah rakyat AS,” katanya kepada saluran berita Fox News.
Beliau menambah, aspek data dan privasi platform itu akan berada di bawah kawalan Oracle. Ia merupakan syarikat perisian dan pengkomputeran awan yang diasaskan oleh Larry Ellison.
Tambah Leavitt, AS akan mengekalkan kawalan ke atas algoritma aplikasi tersebut yang menentukan kandungan yang dilihat oleh pengguna.
Namun, White House tidak segera memberikan jawapan mengenai siapa enam ahli lembaga dilantik dan pihak yang akan mengawal algoritma platform tersebut.
Seorang wakil TikTok juga tidak segera memberikan komen mengenai perjanjian itu.
Jumaat lalu, Presiden AS, Donald Trump memberitahu wartawan di Pejabat Oval bahawa para pelabur yang akan berkhidmat dalam lembaga pengarah itu adalah tokoh yang sangat terkenal.
“Ia juga dikawal oleh orang Amerika yang sangat berpengaruh dan berwibawa, semuanya adalah orang Amerika,” ujarnya.
Minggu lalu, Setiausaha Perbendaharaan Scott Bessent mengumumkan bahawa rangka kerja perjanjian telah dicapai ketika beliau bertemu pegawai China di Madrid, Sepanyol.
Pentadbiran Trump sejak sekian lama mahu TikTok dikawal oleh AS ketika platform itu mempunyai lebih 170 juta pengguna di negara tersebut. – AGENSI