PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menitahkan supaya pemeliharaan alam sekitar dan keselamatan pelancong sentiasa diberikan perhatian utama di kepulauan Mersing.
Menerusi hantaran di laman Facebook, Seri Paduka Baginda menegaskan kepulauan Mersing antara aset pelancongan negara yang bernilai.
Justeru, Sultan Ibrahim bertitah, pengurusan lebih teratur dan berkesan perlu dilaksanakan bagi memastikan kelestarian alam semula jadi sentiasa terpelihara.
“Baru-baru ini, saya melihat dalam paparan media sosial keadaan bot pelancong sesak serta jumlah pengunjung terlalu ramai.
“Oleh demikian, pemuliharaan biodiversiti adalah amat penting bagi terus memelihara khazanah alam sekitar,” titah Seri Paduka Baginda kepada Royal Press Office, hari ini.
Yang di-Pertuan Agong bertitah, pengurusan yang berkesan bukan sahaja memastikan keindahan pulau-pulau Mersing terpelihara, malah menjamin kesejahteraan rakyat serta kelangsungan industri pelancongan negara.
Titah Seri Paduka Baginda, kedatangan pelancong untuk menikmati keindahan pulau-pulau di Mersing sentiasa digalakkan.
Bagaimanapun, pemantauan dan penguatkuasaan perlu dipertingkatkan agar tidak berlaku pencemaran, ancaman keselamatan serta kerosakan ekosistem laut. – KOSMO! ONLINE