KLANG – Seorang penganggur yang tular memukul kekasihnya akibat cemburu berjaya diberkas malam tadi.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, penangkapan suspek dibuat pukul 9 malam di hadapan sebuah kondominium sekitar daerah ini.
Katanya, pihaknya juga telah mendapat perintah reman selepas tiga hari terhadap suspek berusia 29 tahun itu.
“Suspek berjaya ditahan malam tadi dan reman tiga hari diperoleh terhadapnya.
“Ujian air kencing akan dibuat esok bagi mengetahui sama ada terlibat penyalahgunaan dadah,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 dan 427 Kanun Keseksaan.
Kosmo! semalam melaporkan angkara cemburu, seorang lelaki bertindak di luar kawalan apabila memukul kekasihnya dalam kejadian di sebuah kondominium di Bandar Baru Klang, di sini kelmarin.
Kejadian pada pukul 12.30 tengah malam itu menyebabkan mangsa berusia 30 tahun cedera di badan.
Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca akibat perasaan cemburu apabila suspek mendakwa kekasihnya mempunyai hubungan dengan individu lain. – KOSMO! ONLINE