PADANG BESAR – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis berjaya merampas sebanyak 28 kilogram ganja mampat bernilai lebih RM86,800 dalam operasi di kawasan berbatu pesisir pantai Sungai Padang, Simpang Empat baru-baru ini.
Pengarah Kastam Perlis, Ismail Hashim berkata, operasi pada 30 Ogos lalu dilakukan selepas pihaknya menerima panggilan telefon pada pukul 8.30 pagi sebelum sepasukan anggota tiba di lokasi 20 minit kemudian.
“Pasukan operasi menemui tiga guni mencurigakan yang dipercayai ditinggalkan di kawasan pantai berkenaan dan menunggu kehadiran mana-mana individu menghampiri bungkusan tersebut.
“Anggota kita menunggu hampir sejam, namun tidak ada mana-mana individu yang datang untuk mengambil bungkusan tersebut sebelum kita menyita bahan terlarang itu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati guni itu mengandungi 28 ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja dengan berat keseluruhan 28 kg.
“Keseluruhan rampasan ini dianggarkan bernilai RM86,800 dengan harga pasaran sekitar RM3,100 bagi setiap kilogram.
“Rampasan ini juga berjaya mengekang pengedaran ganja yang boleh menjejaskan sehingga 130,000 pengguna,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE