NEW DELHI – Seorang pencipta kandungan paranormal ditahan selepas menyiarkan rakaman mendakwa sebuah lapangan antarabangsa yang baru dibina di India berhantu, lapor akhbar The Independent.
Akshay Vashisht yang memiliki lebih 570,000 pengikut di laman YouTube itu diberkas di New Delhi kelmarin.
Dia menjadi terkenal selepas aktif berkongsi klip video bercerita tentang kisah seram atau paranormal.
Tangkapan itu dibuat selepas Vashisht menyiarkan ‘podcast’ berjudul ‘Evil Haunter Goa Airport’ yang menyatakan bahawa lapangan terbang itu dibina di atas tanah pembakaran mayat.
Vashisht mendakwa, beberapa kakitangan mengesan aktiviti paranormal semasa bertugas.
“Juruterbang enggan bertugas pada waktu malam selepas ternampak hantu termasuk kelibat wanita misteri yang memakai sari berwarna merah di landasan,” kata Vashisht dalam videonya.
Polis berkata, dakwaan ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa Manohar itu palsu, berniat jahat, tahyul dan direka untuk menggusarkan orang ramai.
Polis turut merampas telefon bimbit, komputer riba dan kamera milik suspek. Dia dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut. – AGENSI