SEPANG – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menyifatkan kekecohan di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur baru-baru ini berpunca daripada kelemahan perancangan tanpa tadbir urus yang jelas.
Selain itu, katanya, isu itu juga timbul apabila penduduk tidak diberi kefahaman yang betul mengenai perancangan semula kawasan berkenaan.
“Saya tak katakan isu tu sebagai isu besar, tetapi perancangan itu sebenarnya tak begitu teliti.
“Penglibatan manusia-manusia yang duduk di atas tanah itu pun juga mungkin mereka tidak faham tentang apa risikonya apabila mereka bersetuju untuk tanah mereka dibangunkan dan sebagainya.
“Jadi ketidakfahaman ini dan tidak ada governan (tadbir urus jelas) dan sebagainya akhirnya menyebabkan rakyat menderita,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali Ke-4 Tahun 2025 di sini hari ini.
Katanya, isu itu juga timbul apabila tiada perancangan strategik, malah penduduk juga tidak diberi panduan dan kefahaman yang betul.
Azam berkata, penduduk berkenaan juga mungkin digambarkan tentang pemberian wang dan pampasan banyak yang ditawarkan oleh pemaju.
“Jadi mereka nampak yang itu saja tetapi yang lain tidak nampak dan akhirnya sekarang menjadi isu kepada negara kita,” katanya. – KOSMO! ONLINE