TAIPING – Seorang wanita berusia 37 tahun berputih mata apabila kerugian RM572,130 selepas diperdaya sindiket pelaburan mata wang kripto yang tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang bekerja sebagai jurubahasa persendirian pada pukul 4.19 petang semalam.
Katanya, mangsa memaklumkan dia diperdaya oleh sindiket tersebut melalui laman Instagram.
“Siasatan awal polis mendapati pada pukul 7.17 malam, 10 Ogos lalu, seorang lelaki warga China memberikan nombor telefon kepada mangsa. Mereka berkomunikasi melalui Whatsapp.
“Suspek beritahu mangsa dia melabur dalam satu pelaburan matawang kripto yang menjanjikan pulangan sebanyak 20 peratus,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, mangsa berminat untuk menyertai pelaburan itu setelah mendengar penjelasan suspek sebelum lelaki itu menghantar satu pautan.
Suspek turut mengajar mangsa cara-cara untuk melabur. Mangsa diminta melabur sebanyak AS$2,000 (RM8,740) sebagai modal pelaburan pertama.
“Pada pukul 10.19 malam, 22 Ogos lalu, mangsa melakukan transaksi pemindahan wang secara dalam talian ke dalam satu akaun syarikat sebanyak RM8,740.
“Untuk pelaburan pertama, mangsa mendapat pulangan AS$2280.47 (RM9,595). Oleh kerana terlalu percaya akan menerima pulangan lumayan seperti dijanjikan, mangsa menggandakan nilai pelaburannya.
“Antara 26 Ogos hingga 5 September lalu, mangsa melakukan 12 transaksi pemindahan wang ke dalam sembilan akaun berjumlah RM572,130,” katanya.
Mohamad Nasir berkata, setelah selesai melakukan transaksi, mangsa diminta lagi memasukkan wang untuk menambah nilai pelaburan, tetapi wanita itu tidak mempunyai wang.
“Suspek mengarahkan mangsa untuk membuat pinjaman bank, tetapi wanita itu enggan kerana menyedari dirinya ditipu sebelum membuat laporan polis. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE