NEWCASTLE – Barcelona memulakan kempen Liga Juara-Juara (UCL) dengan langkah kanan selepas mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas Newcastle United di Stadium St. James Park awal pagi tadi.
Pemain pinjaman dari Manchester United, Marcus Rashford menjadi wira pasukan itu apabila meledak kedua-dua gol berkenaan, manakala gol tunggal tuan rumah hadir menerusi Anthony Gordon.
Rashford mengakui gembira dapat membantu pasukannya mencatat kemenangan selain menyifatkan gaya pengurusan diterapkan jurulatih, Hansi Flick banyak membantu dalam meningkatkan permainannya.
“Sejak saya menyertai pasukan ini, semuanya berjalan dengan baik dan banyak perkara baru yang sudah dipelajari. Bagi saya, ini pengalaman baharu untuk saya dalam bola sepak dan beliau (Flick) banyak membantu.
“Saya sangat teruja dan bermotivasi. Kehadiran saya di sini adalah bukan sahaja untuk membantu pasukan memenangi perlawanan, malah menjulang trofi Liga Juara-Juara,” katanya yang pernah menjadi pemain buangan di United.
Pada masa sama, aksi Rashford juga berada dalam perhatian pengurus pasukan England, Thomas Tuchel yang hadir menyaksikan perlawanan tersebut.
Sementara itu, Flick menyifatkan Barcelona sangat beruntung kerana memiliki seorang pemain berkaliber seperti Rashford yang dianggap memiliki sentuhan penyudah cukup baik apabila cergas sepenuhnya.
“Rashford membuktikan kepada kita semua bahawa dia merupakan seorang pemain yang menakjubkan. Kami sering melihat prestasi seperti ini ketika latihan dan hari ini (semalam), dia mempamerkannya dalam perlawanan,” ujarnya. – AGENSI