MERSING – Semua aktiviti selam skuba, selam paras permukaan (snorkeling) dan menjelajah pulau (island hopping) di enam pulau peranginan sekitar daerah ini dihentikan serta-merta.
Pegawai Daerah Mersing, Jamil Hasni Abdullah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Daerah berkata, arahan itu dikuatkuasakan bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pemuliharaan biodiversiti marin.
Jelasnya, larangan itu dikeluarkan kepada semua pengusaha resort, chalet, bot pelancong, bot island hopping serta pusat selam skuba di kawasan berkenaan.
“Penutupan ini adalah bagi memberi ruang untuk kerja-kerja pemuliharaan biodiversiti marin dan alam sekitar di kawasan kepulauan tersebut.
“Tindakan tegas akan diambil sekiranya didapati melanggar arahan yang dikeluarkan. Pihak berkuasa juga akan mengadakan pemantauan dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan di sini.
Antara pulau yang terlibat ialah Pulau Harimau, Pulau Gual, Pulau Mensirip, Pulau Mertang Timur, Pulau Mertang Barat dan Pulau Mertang Tengah. – KOSMO! ONLINE