fbpx
Dr G Linthini (tiga dari kanan) ketika tiba di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu hari ini. Foto oleh IVAN AMIRUL/KOSMO!

Pakar pemeriksa dokumen forensik hadir periksa catatan arwah Zara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA KINABALU – Seorang pakar pemeriksa dokumen forensik, Dr. G. Linthini dari Kuala Lumpur tiba di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu di sini hari ini.

Beliau tiba pada pukul 9 pagi bersama pasukan peguam mewakili ibu Allahyarham Zara Qairina Mahathir. Kehadiran pakar itu adalah untuk melakukan pemeriksaan awal ke atas catatan didakwa milik Allahyarham Zara Qairina, 13.

Tidak lama kemudian, pegawai penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar tiba untuk urusan berkaitan bahan yang diperiksa.

Difahamkan, pakar itu ditugaskan untuk meneliti dan mengesahkan kesahihan bahan bertulis termasuk dokumen peribadi, diari dan buku catatan yang dikatakan milik pelajar tingkatan satu tersebut dalam memastikan analisis psikologi terhadap tulisan Zara Qairina kelak berasaskan dokumen yang sahih.

Pakar itu akan menjadi saksi bagi pihak ibu Allahyarham Zara Qairina pada prosiding inkues nanti.

Dr. Linthini merupakan pemeriksa dokumen bertauliah dengan pengalaman selama lebih enam tahun dalam mengendalikan pelbagai kes berkaitan dokumen.

Peguam Shahlan Jufri yang mewakili keluarga Zara Qairina minggu lalu memaklumkan akan melantik pakar psikologi bebas untuk menilai keadaan minda pelajar tersebut sebelum tragedi berlaku.

Bagaimanapun, beliau menekankan aspek psikologi hanya boleh diberikan pertimbangan penuh selepas kepastian identiti dan kesahihan hasil tulisan Zara Qairina diperoleh melalui pemeriksaan forensik.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI