PETALING JAYA – Bangkai harimau belang yang ditemukan pihak berkuasa dalam operasi di Johor baru-baru ini dipercayai untuk pasaran tempatan dengan harga mencecah RM90,000 bagi satu karkas.
Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, berdasarkan maklumat awal, haiwan itu diburu untuk dijual di pasaran gelap di dalam negara.
“Siasatan mendapati tiga lelaki tempatan yang ditahan dalam operasi tersebut bukanlah pemburu, sebaliknya bertindak sebagai orang tengah yang menguruskan jual beli karkas harimau belang itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Beliau berkata, setakat kini sebanyak 17 kes berkaitan spesies harimau belang direkodkan pihaknya sejak 2020 hingga Julai lalu melibatkan aktiviti memburu, menyimpan dan mengambil hidupan liar itu tanpa permit khas, termasuk satu kes pemilikan jerat.
Terdahulu Kosmo! melaporkan tiga individu berusia 28 hingga 49 tahun ditahan dalam operasi bersepadu oleh pasukan Perhilitan bersama Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Felda Tenggaroh, Johor kelmarin.
Komander FRU, Senior Asisten Komisioner Rosli Md. Yusof berkata, kesemua suspek ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010. – KOSMO! ONLINE