fbpx
KINOSHI (kiri) percaya kesebelasan utama yang bakal diturunkan mampu menjalankan tugas untuk meraih kemenangan ke atas Bangkok United. - SELANGOR FC

ACL2: Selangor idam buka ‘langkah kanan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KETUA jurulatih Selangor FC, Katsuhito Kinoshi sudah ada ramuan terbaik untuk memburu tiga mata pada aksi pertama Kumpulan G saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) menentang Bangkok United di Stadium MB Petaling Jaya, hari ini.

Menurut Kinoshi, tiada kuota import yang ditetapkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) memudahkan barisan kejurulatihan untuk ‘berkarya’ dalam menentukan kesebelasan utama nanti.

Kinoshi berkata, sesiapa sahaja yang diturunkan sudah tentu memberikan sepenuh tenaga untuk memastikan pasukan dapat memulakan saingan berprestij peringkat Asia itu dengan langkah kanan.

“Selangor FC tiada 11 pemain import, tetapi kalau kita ada, saya tetap akan memilih kesebelasan terbaik dan semua sudah bersedia untuk mengharungi perlawanan ini.

“Justeru, saya tidak kisah jika pemain import ataupun pemain tempatan. Kalau beraksi dengan baik, mereka boleh membarisi kesebelasan utama dan bermain,” katanya pada sidang media semalam.

Mengulas lanjut, Kinoshi mengakui pemain perlu bersedia secara mental dan fizikal kerana jadual yang diharungi ketika ini cukup padat dan bakal beraksi empat perlawanan dalam tempoh 10 hari.

“Kita berdepan jadual padat, tetapi saya tidak mahu terlalu fikirkan mengenai perlawanan lain. Kita tumpu satu perlawanan ke satu perlawanan dan fokus untuk menang,” katanya.

Pertahanan Gergasi Merah, Kevin Deeromram memberi amaran kepada pasukan Bangkok United memiliki kualiti setara dengan kelab Utama Thailand, Buriram United.

“Bangkok United antara pasukan terbaik di Thailand dan ada jurulatih dan barisan pemain berkualiti. Saya tidak mahu membuat perbandingan, tapi mereka dan Buriram berada pada tahap yang sama,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN