TUMPAT – Seorang tekong darat bertindak terjun ke dalam Sungai Golok selepas kegiatannya mengangkut enam pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar dikesan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di pangkalan haram Kebun di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, suspek yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza meninggalkan kesemua PATI yang baru diseludup masuk dari Thailand.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, MPV itu dilihat berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan pangkalan haram berkenaan.
Menurutnya, suspek yang merupakan pemandu kenderaan dan berperanan sebagai tekong darat terus bertindak terjun ke dalam Sungai Golok selepas menyedari kehadiran anggota PGA.
“Suspek kemudian dilihat menaiki perahu yang menuju ke arah Tak Bai, Thailand.
“Pemeriksaan di dalam MPV dipandu suspek membawa kepada penemuan enam PATI warga Myanmar termasuk empat wanita,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, siasatan mendapati, kesemua PATI itu baru diseludup ke negara ini melalui pangkalan haram tersebut.
Menurutnya, enam PATI itu diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat di sini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – KOSMO! ONLINE















