SEBERANG PERAI – Kementerian Perpaduan Negara menyambut baik cadangan penubuhan Galeri Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai manifestasi penghargaan terhadap kepimpinan Perdana Menteri kelima itu.
Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang walau bagaimanapun berkata, cadangan yang diusulkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican itu bagi menghargai sumbangan besar Allahyarham Tun Abdullah dalam pembangunan negara.
“Saya juga berterima kasih kepada Kerajaan Negeri yang telah meluluskan tanah bagi tapak
pembinaan galeri tersebut di Vision Park, di Bertam. Ini projek baharu, maka akan ambil masa lama sikit.
“Reka bentuk (galeri) perlu disiapkan dahulu sebelum kami memohon peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan. Jumlah kos belum dimuktamadkan kerana kita belum tahu berapa keluasan galeri yang bakal dibina ini.
“Bagi pihak kementerian, kami akan sentiasa menyokong dan memberikan kerjasama kepada Arkib Negara Malaysia untuk merealisasikan pembinaan memorial tersebut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Mengenang Negarawan Tun Abdullah Ahmad Badawi: Bapa Pembangunan Modal Insan di Bertam, di sini, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan projek Galeri Tun Abdullah Ahmad Badawi itu akan dilaksanakan di atas sebidang tanah seluas 0.8 hektar (dua ekar) yang telah dikenal pasti. – KOSMO! ONLINE