LANGKAWI – Kira-kira 100,000 pelancong dari dalam dan luar negara memasuki pulau peranginan ini menggunakan feri penumpang sempena musim cuti sekolah dan cuti umum Hari Malaysia.
Pengurus Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn. Bhd., Leftenan Komander (B) Norhafiz Abdul Wahid berkata, kemasukan pengunjung itu adalah dari kedua-dua terminal iaitu Kuala Perlis dan Kuala Kedah.
“Susulan peningkatan jualan tiket bermula 12 hingga 21 September ini, kita membuka sebanyak 118 trip tambahan yang sudah sedia dibeli dalam sistem penjualan tiket.
“Pengoperasian feri penumpang akan bermula pada pukul 7 pagi hingga 7 malam dan dilanjutkan sehingga pukul 10 malam, tertakluk kepada permintaan penjualan tiket dalam talian yang tinggi,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, langkah itu bagi memberi ruang kepada pengunjung yang ingin bercuti ke Langkawi untuk merancang perjalanan cuti mereka.
“Pengunjung yang ingin membeli tiket secara dalam talian boleh memuat turun aplikasi Cuti-Cuti Langkawi, melayari laman web www.cuticutilangkawi.com atau membeli tiket di kaunter Terminal Feri Kuala Perlis dan Kuala Kedah,” ujarnya.
Tambahnya, pihaknya akan memastikan pengoperasian feri penumpang berada pada tahap kesiagaan yang tinggi sepanjang musim cuti sekolah dan cuti umum Hari Malaysia ini. – KOSMO! ONLINE














