ALOR GAJAH – Daerah Alor Gajah mencatatkan kerugian mencecah lebih RM8.84 juta akibat jenayah komersial sepanjang tempoh lapan bulan pertama tahun ini.
Statistik Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah mendapati, sebanyak 417 kertas siasatan dibuka bermula 1 Januari hingga 31 Ogos lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintendan Azrul Mohamed berkata, kes melibatkan pelbagai bentuk penipuan yang jelas menunjukkan masyarakat perlu lebih berhati-hati dengan helah sindiket.
“Antara kes paling banyak berlaku ialah penipuan bungkusan atau parcel scam kononnya dari luar negara.
“Mangsa terperdaya membayar cukai atau caj penghantaran sedangkan bungkusan itu sebenarnya tidak wujud,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata, selain itu, penipuan pelaburan tidak wujud yang menjanjikan keuntungan lumayan, tawaran kerja sambilan, pinjaman segera dan pembelian dalam talian turut menjadi jerat utama sindiket.
“Penipuan belian atas talian serta kerja sambilan palsu kebanyakannya menyasarkan golongan muda. Pelaburan tipu serta pinjaman tidak wujud pula lebih banyak menjerat orang dewasa yang terdesak mencari kewangan segera,” jelasnya.
Azrul menegaskan, jumlah kerugian hampir RM10 juta itu bukan angka kecil kerana memberi impak besar terhadap ekonomi setempat. – KOSMO! ONLINE