KUCHING – Pendidikan percuma yang akan dilaksanakan Kerajaan Sarawak bermula tahun depan dijangka menelan perbelanjaan kira-kira RM400 juta setahun dan meningkat sehingga RM1 bilion pada tahun ketiga pelaksanaannya.
Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, jumlah besar itu mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri memastikan rakyat menikmati akses pendidikan berkualiti tanpa terbeban dengan kos pengajian.
“Sebenarnya, boleh tahan jugalah. Nanti saya umumkan dalam bajet.
“Tahun pertama, kita sudah kira, sekurang-kurangnya lebih RM400 juta. Tahun kedua, kita perlu bayar untuk dua kohort. Tahun ketiga, tiga kohort pula. Jadi akhirnya jumlahnya akan melebihi RM1 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Hostel Komuniti Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) dan Sambutan Ulang Tahun ke-70 DBNA di sini, malam tadi.
Menjelas lanjut, Abang Johari berkata kos pelaksanaan pendidikan percuma itu akan ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak menerusi hasil pendapatan sendiri yang semakin kukuh. – KOSMO! ONLINE