CARACAS – Venezuela semalam mengecam Amerika Syarikat (AS) kerana merampas sebuah bot nelayan tempatan selama lapan jam di zon ekonomi eksklusifnya, ketika tentera AS meronda Laut Caribbean untuk menyasarkan kartel dadah.
Bot membawa sembilan nelayan ikan tuna itu ‘ditahan secara haram’ kelmarin oleh japal pemusnah USS Jason Dunham, kata Menteri Luar Venezuela, Yvan Gil.
“Seramai 18 ejen bersenjata api menaiki dan menahan bot nelayan tidak berbahaya itu selama lapan jam,” katanya sambil menyifatkan insiden itu ‘provokasi langsung melalui cara ketenteraan berlebihan secara haram.’
Mereka yang mengarahkan rampasan itu cuba ‘mencetuskan insiden untuk mewajarkan perang di Caribbean, dengan tujuan menukar pemimpin di Caracas, tambahnya.
Gil menuntut Amerika segera menghentikan provokasi yang membahayakan keselamatan dan keamanan di rantau Caribbean.
Pemerintah selatan tentera AS yang mengawasi rantau tersebut tidak menjawab permintaan komen daripada AFP.
Ketegangan antara kedua-dua negara meningkat sejak beberapa minggu lalu selepas Washington melakukan kerahan tentera laut terbesar di Caribbean dalam tempoh beberapa tahun.
Presiden Donald Trump menyasarkan kartel dadah Venezuela dalam operasi itu sekali gus meningkatkan tekanan ke atas Presiden Nicolas Maduro.
Washington menuduh Maduro mengetuai kartel pengedaran kokain dan baru-baru ini menggandakan ganjaran untuk penangkapannya kepada AS$50 juta (RM210 juta).
Awal bulan ini, tentera AS meletupkan sebuah bot didakwa mengangkut dadah di Laut Caribbean, menyebabkan 11 orang terbunuh. – AFP .